GEORGE TOWN – Jangan salahkan kerajaan negeri tetapi salahkan diri sendiri jika Pulau Pinang kotor. Demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh apabila mendapati masih ramai penduduk di negeri ini yang mengabaikan kebersihan terutama yang tinggal di sekitar bandar dan pantai.
Katanya, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk menyediakan papan tanda larangan serta menambah tong sampah di kawasan kediaman serta komersial, tetapi masih ada yang tidak ambil peduli.
“Sebagai rakyat Pulau Pinang, kita patut berasa malu jika orang luar terutama pelancong lihat tempat kita kotor gara-gara sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab.
“Penduduk seharusnya sedar bahawa faktor kebersihan adalah sesuatu yang asas dan perlu dipupuk dalam diri masing-masing,” ujarnya ketika membentangkan Rangka Kerja Utama Program Mengindahkan Pulau Pinang baru-baru ini.
Boon Poh menegaskan, sikap penduduk yang suka membuang sampah merata-rata boleh merencatkan usaha kerajaan negeri untuk mengindahkan negeri ini.
“Sebagai rakyat, kita perlu sama-sama menjaga keindahan negeri ini tanpa perlu disuruh berbuat demikian.
“Jika rakyat terus bersikap pengotor, kempen Penang Bersih, Hijau atau Cleaner Greener Penang yang dilancarkan dua tahun lalu tidak akan berjaya sepenuhnya,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment