Wednesday, March 28, 2012

EARTH HOUR 2012

Thursday, March 15, 2012

Sisa minyak hitam dibuang dalam alur air

MELAKA - Siapa punya angkara?

Itulah persoalan yang timbul mengenai kewujudan bahan buangan sisa minyak hitam yang dibuang oleh individu yang tidak bertanggungjawab di sebuah alur air di Parit Melana, Alor Gajah di sini kelmarin.

Kejadian tersebut disedari selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mendapat panggilan daripada orang awam pada pukul 9 pagi selepas mereka terlihat sisa minyak hitam di alur air tersebut yang berdekatan dengan sebuah masjid.

Ketua Penolong Pengarah JAS negeri, Hedzir Zakaria berkata, sejurus selepas menerima aduan mengenai kewujudan minyak itu, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati sisa minyak hitam tersebut masih baru dan dipercayai dibuang pada Ahad lalu.

"Disebabkan sisa minyak hitam itu dibuang dalam alur air, kita terpaksa meminta bantuan daripada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk mengepam sisa minyak hitam dalam alur itu sebelum ia mengalir ke Sungai Melaka.

"Setakat ini keadaan terkawal kerana kami telah memasang oil boom bagi menyekat air dalam alur tersebut yang telah dicemari mengalir lebih jauh dan memasuki loji air di Durian Tunggal," katanya ketika dihubungi semalam.

Tuesday, March 13, 2012

Siasat pencemaran Sungai Sepetang - CAP

IPOH — Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan dan pihak-pihak terbabit menyiasat dan mengambil tindakan segera mengatasi masalah pencemaran Sungai Sepetang di Taping, Perak.

Presiden CAP S.M Mohamed Idris berkata, masalah pencemaran itu berpunca daripada projek ternakan udang berhampiran sungai itu yang selain memusnahkan hutan paya bakau dan mencemar air sungai berkenaan juga mengancam mata pencarian lebih 100 orang nelayan tempatan.

Kehidupan beberapa spesis burung termasuk pembiakan kelip-kelip yang terkenal di negara ini turut terancam dan semakin berkurangan kesan daripada sinaran cahaya lampu daripada kawasan kolam udang di situ katanya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mohamed Idris berkata, beberapa aduan dibuat sebelum ini tiada memberi kesan tanpa sebarang tindakan pihak terbabit dan nelayan di situ mendakwa keadaan sudah berlarutan sejak 15 tahun yang lalu.

Tindakan pengusaha ternakan udang berkenaan membuang sisa kolam ke dalam sungai menyebabkan ikan dan udang yang menjadi sumber pendapatan utama nelayan semakin pupus dan berkurangan, katanya. Menurut CAP, antara spesis ikan yang terancam ialah ikan sembilang, kerapu, jenahak dan ikan lumba-lumba.

Mohamed Idris berkata, nelayan di situ sebelum ini memperoleh pendapatan lebih RM70.00 sehari tetapi sekarang hanya RM20.00 sehari akibat pencemaran yang berlaku di sungai berkenaan.— BERNAMA

Monday, March 12, 2012

Pengasingan sisa pepejal mandatori 2015

PUTRAJAYA - Kerajaan akan melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca secara mandatori seawal tahun 2015, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berkata, ia adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) dan penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Semenanjung pada 1 September tahun lepas.

Seperti termaktub dalam akta tersebut, beliau berkata, setiap isu rumah atau pemilik premis yang gagal mengasingkan sisa pepejal akan dikenakan penalti.

"Memandangkan akta ini baru bermula, kita akan memberi tiga tahun sekurang-kurangnya supaya masyarakat sedar pentingnya mengasingkan sisa-sisa pepejal di rumah dan sekaligus mengurangkan penjanaan sisa pepejal melalui amalan kitar semula,” katanya di sini semalam. — BERNAMA


Friday, March 2, 2012

Panel solar terbesar di Malaysia

BAYAN LEPAS - Robert Bosch Sdn. Bhd. (Bosch) melabur lebih daripada RM7 juta untuk memasang kepingan panel solar di bumbung premis kilangnya di Zon Industri Bebas di sini menjadikan ia sebagai pemasangan panel solar terbesar di negara ini.

Inisiatif dalam menerajui inovasi hijau dalam sektor industri ini bertepatan dengan saranan kerajaan yang menggalakkan pelbagai sektor termasuk perkilangan beralih kepada teknologi penjimatan elektrik.

Pengarah Urusan Bosch Malaysia dan Asia Tenggara, Martin Hayes berkata, sebanyak 2,300 keping panel solar yang dibangun menggunakan teknologi Bosch dipasang secara berperingkat-peringkat di premis berkenaan.

"Kepingan solar ini dapat menjana elektrik dan pemasangannya merupakan salah satu visi murni Bosch untuk meningkatkan penjagaan alam sekitar.

"Selain dapat menjana 850 megawat elektrik setahun, bangunan ini juga dapat mengurangkan pengeluaran karbon sehingga 460 tan setahun," katanya pada majlis pelancaran pemasangan sistem panel solar fotovoltik di kilang Bosch di sini baru-baru ini.